Pesan 7 perkara pada anak sebelum mereka dewasa
Saat si kecil keluar menjengah dunia, tidak disangka tika itu seluruh hidup kita akan berubah sepenuhnya. Seorang ibu akan mempertaruhkan nyawa dan harta, hanya untuk membesarkan dan melihat anak-anak berjaya.
Pengorbanan ibu tidak pernah mengharap balasan, cukup sekadar si anak tahu ibu sentiasa menyayangimu.
Perkongsian Ketua Pegawai Eksekutif ProParenting Resources, Dr Taufiq Razif cukup menyentap rasa. Jelasnya seorang anak harus diterapkan dengan tujuh pesanan bermakna ini sebelum mereka meningkat dewasa.
Ini bertujuan supaya si kecil bersedia dengan sebarang kemungkinan atau dugaan mendatang yang berlaku dalam hidup.
Ikuti perkongsiannya.
“Pesanlah pada anak kita 7 perkara sebelum mereka meningkat dewasa
1. Wahai anakku, ibu takkan selamanya ada disisimu. Belajarlah berdikari & bertanggungjawab dengan segala urusanmu
2. Wahai anakku, doamu akan menjadi sangat berguna pada ibu ketika ibu sudah tiada lagi di dunia ini. Ingatilah ibumu ini dalam setiap doa dan munajatmu
3. Wahai anakku, kamu sangat berharga buat ibu. Jangan sia-siakan dirimu walau seluruh dunia mengecewakanmu
4. Wahai anakku, dunia ini tempat ujian. Kamu akan diuji berkali-kali hingga kamu merasa lemah dan lelah. Angkatlah tanganmu, kerana saat itu Pemberi Ujian yakni Tuhanmu sedang merindukanmu
5. Wahai anakku, jagalah adik-beradikmu. Seburuk apa pun layanan mereka terhadapmu, takkan sekali-kali putus hubungan darah kalian. Darah ibumu akan tetap mengalir di dalam tubuh kalian
6. Wahai anakku, jagalah agamamu walau seluruh dunia memberontak dan rosak. Kerana dengan menjaga agama sahaja kamu akan dikira berjaya walau seluruh dunia melihatmu kecil dan gagal
7. Wahai anakku, ibu takkan mampu melindungi dan menyayangimu setiap masa. Yang menyayangi, melihat dan memerhatikanmu setiap detik dan masa hanyalah Penciptamu. Sayangilah Dia. Cintailah Dia. Berterima kasihlah padaNya.”
Sumber : Dr Taufiq Razif
